Genting Highlands Kecoh, Kedai Emas Didakwa Dirompak

BENTONG: Suasana di pusat peranginan Genting Highlands bertukar kecoh hari ini selepas dakwaan berlaku rompakan membabitkan sebuah kedai emas di dalam sebuah pusat beli-belah di kawasan berkenaan tular di media sosial.

Dakwaan itu mula mendapat perhatian di Threads apabila beberapa pengunjung berkongsi maklumat serta rakaman video yang dipercayai dirakam ketika kejadian.

Satu video yang dimuat naik pengguna Threads, @j00raaaa, memaparkan dua individu berpakaian serba hitam dilihat membawa lari sebuah beg guni besar di dalam pusat beli-belah terbabit.

“Kedai emas Genting kena rompak. Genting lockdown buat sementara waktu,” menurut keterangan pada hantaran berkenaan.

Susulan dakwaan itu, keadaan di Genting Highlands dilaporkan diperketatkan apabila pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap kenderaan yang keluar dari kawasan peranginan berkenaan.

Beberapa pengunjung turut mendakwa pergerakan keluar dari Genting Highlands disekat buat sementara waktu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan dan mengesan suspek.

Keadaan itu menyebabkan laluan turun dari Genting Highlands, termasuk arah Genting Sempah, dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa.

Seorang pengguna Threads, @shaqiera_abhamid, mendakwa kenderaannya yang keluar dari penginapan sekitar tengah hari hanya tiba di Genting Sempah kira-kira jam 2 petang.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @faridaspar, mendakwa polis menjalankan pemeriksaan rapi terhadap kenderaan yang melalui laluan pemeriksaan.

“Pihak polis melakukan pemeriksaan rapi terhadap setiap kenderaan yang keluar, termasuk mengarah bonet kereta dibuka untuk diperiksa,” katanya.

Beberapa pengguna media sosial turut mendakwa mereka terpaksa berada dalam kenderaan masing-masing hampir dua jam berikutan sekatan dan pemeriksaan keselamatan berkenaan.

Bagaimanapun, setakat ini, dakwaan rompakan serta butiran lanjut mengenai kejadian masih belum dapat disahkan secara rasmi.

O

BBerkaitan

Latest articles