KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua, diterima kembali menyertai parti itu, sekali gus mengukuhkan semula barisan veteran parti yang sebelum ini meninggalkan PKR.
Kepulangan Tian Chua disambut baik pemimpin dan anggota PKR, khususnya mereka yang terlibat dalam gerakan Reformasi.
Portal berita PKR, Suara Keadilan, melaporkan Tian Chua kini kembali bersama parti berkenaan selepas pernah dipecat susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 kerana bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Batu.
Dalam pertandingan 10 penjuru itu, calon PKR, P Prabakaran, berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.
Perkembangan itu turut menyusul pengesahan bekas naib presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, bahawa beliau kembali menyertai parti berkenaan.
Ketika diminta mengesahkan kepulangannya ke PKR, Xavier hanya menjawab: “Ya.”
Kepulangan kedua-dua tokoh berkenaan berlaku beberapa hari selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa veteran parti yang berasa tersisih supaya kembali ke pangkuan PKR bagi meneruskan perjuangan Reformasi.
Dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR, Sabtu lalu, Anwar turut memohon maaf kepada veteran parti dan menyeru mereka kembali bersama parti.
Xavier meninggalkan PKR pada 2021 ketika parti itu masih berada dalam pembangkang, sebelum menyokong Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, sebagai Ahli Parlimen bebas.
Pada 2022, beliau menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), namun ketika itu enggan mendedahkan sebab beliau berbuat demikian.










