JASIN: Penemuan kalimah suci ‘Allah’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dalam tulisan Jawi pada sebuah tokong di kawasan Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring mencetuskan kegemparan dalam kalangan penduduk setempat, malam tadi.
Perkara itu mula disedari sekumpulan pemancing sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa, sekali gus mengundang perhatian segera Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman yang turun ke lokasi bagi membuat pengesahan sekitar jam 11.30 malam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati struktur tokong berkenaan telah dibina sejak dua hingga tiga tahun lalu di kawasan paya bakau berhampiran pantai, namun kewujudan kalimah berkenaan hanya dikesan pada malam kejadian.
Situasi itu disifatkan sensitif dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum serta agama, justeru kawalan sementara oleh pihak polis telah diminta sementara menunggu tindakan lanjut.
Rahmad turut memaklumkan, perbincangan segera telah diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), polis serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menentukan langkah seterusnya.
Selain itu, beliau mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyemak status pembinaan tokong berkenaan, termasuk kemungkinan ia didirikan tanpa kelulusan sah.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan siasatan menyeluruh dijalankan oleh JAIM dan polis bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab.
“Kita tidak mahu isu seperti ini menimbulkan salah faham atau menggugat keharmonian masyarakat. Siasatan terperinci perlu dilakukan segera,” katanya.










