Bukan Sekadar Mansuh AUKU, Kerajaan Bina Semula Kerangka Undang-undang Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha itu digariskan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dan menjadi sebahagian agenda One Higher Education Act yang dilancarkan pada Januari lalu.

Beliau berkata, AUKU bukan sekadar mengawal selia hal ehwal mahasiswa, malah menjadi akta induk berkaitan penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.

“Justeru, pemansuhannya perlu disusuli kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata proses penggubalan akta baharu itu akan dilaksanakan secara inklusif dengan mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk pemimpin universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, industri, pakar perundangan serta mahasiswa.

Menurutnya, matlamat kerajaan bukan sekadar memansuhkan AUKU, sebaliknya membentuk sistem perundangan yang mampu memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa tanpa mengabaikan tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi.

Beliau berkata langkah berkenaan selari dengan agenda transformasi pendidikan tinggi melalui RPTM 2026-2035 bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan dan bersedia menghadapi perubahan global.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi ruang demokrasi dan kebebasan yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa.

Anwar berkata keputusan itu dibuat susulan memorandum serta pandangan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles