Selepas Tabung Haji & Felda, Pembahas Terengganu Persoal Isu Felcra Dan Ketengah

​AYER KEROH: Reformasi yang diperjuangkan oleh Kerajaan Madani digesa agar tidak sekadar menjadi sejarah politik atau laungan di jalan raya, sebaliknya mesti meresap masuk ke dalam tatakelola institusi strategik negara.

​Pembahas dari Terengganu, Dr. Che Harun Kamariah menegaskan, selepas timbul pelbagai isu ketidakcekapan dan kelemahan tadbir urus melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH) serta Felda, keutamaan kini perlu diberikan kepada pembaharuan dalam Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

​”Inilah masanya untuk kita membuktikan bahawa perjuangan reformasi bukan sekadar sejarah politik, bukan sekadar berteriak di jalan raya, tetapi reformasi mesti masuk ke dalam institusi negara,” tegas beliau.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan sempena Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Sabtu.

​Mengulas mengenai Felcra, Dr. Che Harun membangkitkan persoalan berhubung pinjaman Kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.67 bilion serta langkah penyusunan semula pinjaman jangka panjang RM1.903 bilion tanpa keuntungan bagi tempoh 35 tahun.

Beliau turut mendedahkan laporan Audit Negara yang mencatatkan tunggakan pinjaman pembangunan tanah peserta Felcra bernilai RM312.22 juta sehingga Disember 2021.

​”Kita nak tanya, mengapa Felcra memerlukan penstrukturan semula jumlah kewangan yang sangat besar? Sepatutnya Felcra mempunyai amanah besar terhadap tanah peserta.

“Mengapa ahli lembaga pengarah boleh bertukar kereta dan melancong ke luar negara, sedangkan kementerian yang menjaga masih menutupi mulut?” soal beliau.

​Menyentuh isu Ketengah di Terengganu pula, beliau mengkritik amalan pelantikan tokoh politik yang disifatkan sering mendahului merit dan kepakaran profesional.

Beliau memberikan contoh pelantikan Pengerusi Ketengah yang terbaharu pada November 2023 membabitkan pimpinan UMNO Terengganu, sekali gus mempersoalkan garis pemisah antara merit profesional dan kepentingan politik.

​”Apakah garis pemisah antara pelantikan berteraskan merit profesional dengan pelantikan tokoh politik untuk mengetuai Ketengah?

“UMNO ini satu rakan yang manis di depan, kelat pahit di belakang. Kita tidak mahu menggantikan politik UMNO dengan politik Keadilan semata-mata, kita mahu menghapuskan budaya pelantikan yang tidak berasaskan merit. Institusi rakyat bukan milik parti, bukan milik menteri, tetapi milik rakyat,” bidas beliau.

​Dr. Che Harun turut mengingatkan pimpinan kerajaan agar tidak terlalu berhati-hati melakukan pembaharuan semata-mata kerana mahu menjaga kompromi politik dalam kerajaan gabungan.

​”Jangan sampai kompromi politik menyebabkan kita terlalu berhati-hati untuk melakukan pembaharuan.

“Belajarlah daripada isu Tabung Haji, Felda, Felcra dan Ketengah – kelemahan tadbir urus boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi strategik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles