Kerajaan, PKR Perlu ‘Menang Rasa’ Rakyat, Bukan Sekadar Angka Dan Dasar – Afdlin

​AYER KEROH: Kerajaan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa supaya tidak hanya bertumpu kepada kemenangan angka, perangkaan atau pengumuman dasar semata-mata, sebaliknya perlu berusaha ‘menang rasa’ serta menyelami denyut nadi rakyat di peringkat akar umbi.

Perwakilan Wilayah Persekutuan​, Datuk Afdlin Shauki berkata, naratif komunikasi politik dan penyampaian maklumat ketika ini tidak memadai sekadar bergantung kepada dasar yang digubal di peringkat Pusat, sebaliknya mesti difahami serta dirasai oleh masyarakat.

​”Kita boleh menang dasar, kita boleh menang angka dan kita boleh menang pengumuman, tapi kita belum tentu ‘menang rasa’. Bagi saya, kalau kita benar-benar mahu memenangi medan naratif ini, perjalanannya tidak bermula di TikTok, tidak bermula dengan ‘influencer’ (pempengaruh) atau AI (kecerdasan buatan), tetapi bermula dari dalam parti kita sendiri.

​”Kita mesti perbaiki cara kita berkomunikasi sesama kita – Pusat dengan negeri, negeri dengan cabang, pimpinan dengan anggota, dan yang paling penting kita mesti belajar mendengar satu sama lain,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Ucapan Dasar Presiden di Kongres Nasional PKR 2026 di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Afdlin yang juga Ketua Cabang PKR Setiawangsa merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menegaskan, pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang seni mengajar beliau bahawa manusia mungkin mudah lupa akan angka serta statistik, namun sukar melupakan apa yang dirasai oleh mereka.

​Justeru katanya, jurang antara ‘bahasa dasar’ kerajaan dan ‘bahasa kehidupan’ rakyat perlu dijambani dengan berkesan menerusi komunikasi dua hala.

​”Di Putrajaya kita bercakap tentang penyasaran, ketirisan dan penjimatan fiskal. Tetapi rider (penghantar) di bawah cuma tanya ‘minyak aku bulan depan macam mana?’. Makcik berniaga bertanya ‘barang akan naik lagi ke?’. Ayah yang hantar anak ke sekolah bertanya cukup ke duit sampai hujung bulan.

​”Inilah perbezaan antara bahasa dasar dan bahasa kehidupan. Ketakutan mereka sebenarnya bukan sekadar pasal petrol, tetapi pasal kehidupan, barang dapur, sewa, anak, hutang dan masa depan. Kita kena rasa kenapa mereka takut, baru kita terangkan kenapa kerajaan buat sesuatu dasar,” jelasnya.

​Dalam pada itu, beliau tersebut turut mengajak pimpinan dan penganut perjuangan parti untuk mengamalkan konsep ‘Khudi’ iaitu pembangunan jati diri, ilmu dan disiplin seperti yang pernah ditekankan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam bukunya The Asian Renaissance sejak tiga dekad lalu.

​”Khudi bukan ego atau ‘aku betul kau semua salah’, tetapi pembinaan jati diri. Jangan tunggu dunia berubah untuk mengubah diri, tetapi bina diri kita sehingga kita mempunyai kekuatan untuk mengubah dunia. Daripada syakwah (keluhan), kita mesti beralih kepada muhasabah,” jelas beliau.

​Sebagai formula komunikasi berkesan, beliau menyatukan empat sifat utama Rasulullah SAW iaitu Fatanah, Amanah, Siddiq dan Tabligh yang dijenamakan sebagai ‘FAST.

​Afdlin turut menggesa agar Ketua-Ketua Cabang dijadikan sebagai ‘ejen rasa’ dan penderia (sensor) utama parti di lapangan bagi menghubungkan perkhidmatan kerajaan terus kepada masyarakat.

​”Sebelum orang ramai boleh merasai keadilan, PKR dan kerajaan mesti merasai terlebih dahulu apa yang rakyat rasai,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles