Empat Penumpang Selamat, Helikopter Terbakar Ketika Uji Enjin Di Subang

SUBANG: Empat individu terselamat selepas sebuah helikopter terbakar ketika menjalani persediaan untuk ujian enjin di sebuah fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), tengah hari tadi.

Helikopter jenis Kamov Ka-32 itu dilaporkan terbakar ketika hendak melakukan pengujian enjin selepas kerja-kerja pembaikan selesai dijalankan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira empat minit selepas menerima panggilan.

“Setibanya pasukan di lokasi, komander operasi mendapati sebuah helikopter terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran berlaku ketika helikopter berkenaan sedang menjalani proses pengujian enjin selepas kerja pembaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, keempat-empat individu yang berada di dalam helikopter terbabit berjaya keluar dan menyelamatkan diri sebelum api merebak.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bersama anggota JBPM.

Sehingga kini, pasukan penyelamat masih menjalankan kerja-kerja pemadaman dan memastikan keadaan di lokasi selamat.

BBerkaitan

Latest articles