KAJANG: Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam insiden gangguan seksual di pintu keluar Stesen MRT Kajang, seperti tular di aplikasi Threads, berjaya ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata, suspek berusia 24 tahun itu diberkas di kediamannya di Taman West Country, Bandar Baru Bangi.
Menurut beliau, pihak polis akan membawa suspek ke Mahkamah Majistret Kajang bagi mendapatkan perintah reman untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nor Atiqah Anuar di talian 013-7948922,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan individu terbabit susulan penularan video berdurasi 23 saat di media sosial yang memaparkan kejadian berkenaan sejak pagi Khamis.
Siasatan turut dijalankan di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.










