SHAH ALAM: Lelaki yang terlibat dalam operasi menangkap anjing liar di Klang pada 29 Julai lalu menegaskan bahawa penyertaannya dalam operasi berkenaan bukan bertujuan mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan.
Shah Hizam, 24, berkata beliau turut berdukacita selepas mengetahui kematian seekor anjing peliharaan dikenali sebagai Rocky, namun kehadirannya pada malam kejadian adalah bagi melaksanakan tugas yang diberikan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Saya tidak hadir pada malam itu dengan niat untuk mencederakan, jauh sekali untuk membunuh mana-mana haiwan,” katanya pada sidang media di Bukit Jelutong, seperti dilaporkan Harian Metro.
Peguamnya, Rafique Rashid Ali, pada masa sama memberi amaran tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan ugutan bunuh atau membuat tuduhan berunsur fitnah terhadap anak guamnya di media sosial.
Menurut beliau, pihak guaman kini mengumpulkan bukti termasuk komen berbaur ugutan dan fitnah yang dimuat naik di internet.
Katanya, tindakan juga boleh dipertimbangkan terhadap individu atau portal yang didakwa cuba mencetuskan provokasi berhubung insiden berkenaan.
Rafique menjelaskan Shah menyertai operasi itu sebagai wakil penduduk selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga setempat.
Beliau berkata orang awam yang terlibat dalam operasi turut diberikan taklimat oleh MBDK berkaitan tatacara menangkap anjing serta dibekalkan peralatan yang diperlukan.
“Perkara penting yang perlu diketahui ialah alat penjerut leher (loop) itu bukan milik peribadi Shah, sebaliknya dibekalkan oleh MBDK,” katanya.
Menurut Rafique, keadaan menjadi tegang selepas seorang wanita yang mendakwa dirinya pemilik Rocky masuk campur ketika operasi berlangsung sehingga berlaku pergelutan ketika alat penjerut masih berada pada leher anjing berkenaan.
Beliau berkata, 12 anjing liar lain berjaya ditangkap pada malam sama tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam perkembangan berkaitan, Rafique mendakwa Shah berdepan gangguan siber selepas rakaman insiden itu tersebar luas di media sosial.
Katanya, identiti anak guamnya didedahkan, selain beliau dilabel sebagai pembunuh haiwan oleh sebahagian pengguna media sosial. Shah dan keluarganya juga didakwa menerima ugutan bunuh.
Rocky dilaporkan mati ketika operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.
Sebelum ini, MBDK mempertahankan tindakan pegawainya dan mendakwa pemilik Rocky bertindak agresif ketika operasi dijalankan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, wanita berkenaan cuba memotong jerat yang digunakan untuk mengawal Rocky, selain didakwa mengugut untuk mencederakan dirinya sekiranya anjing tersebut tidak dilepaskan.
Kes kematian Rocky kini dalam siasatan polis mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor turut menjalankan siasatan berhubung dakwaan kekejaman terhadap haiwan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.










