AMK: Jangan Biarkan Kepentingan Politik Gugat Kerajaan Perpaduan

MELAKA: Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dibiarkan rapuh akibat tindakan segelintir pihak yang didakwa lebih mementingkan agenda politik masing-masing berbanding kepentingan rakyat dan negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata percaturan politik sedemikian boleh menjejaskan usaha kerajaan memperkukuh pentadbiran serta meneruskan agenda reformasi.

Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang didakwa menjalinkan kerjasama politik secara terbuka ketika kerajaan sedang berusaha mengembalikan keyakinan rakyat dan dunia terhadap negara perlu diberi perhatian serius.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai amalan politik “talam dua muka” yang berpotensi mengganggu kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Politik curang seperti ini akhirnya hanya membantutkan agenda reformasi dan usaha untuk memperkukuh kerajaan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK pada Kongres KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam ini.

Muhammad Kamil berkata, sikap terlalu mengejar kepentingan politik sehingga mengetepikan keutamaan rakyat dan negara tidak boleh dianggap sebagai perkara kecil.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai terus memperlihatkan keteguhan dalam melaksanakan tanggungjawab meskipun berdepan pelbagai tekanan politik.

Katanya, Anwar tetap memilih untuk berada di hadapan rakyat dan meneruskan tugas demi mempertahankan maruah perjuangan serta kestabilan negara.

Beliau turut mengingatkan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak menjadikan percaturan politik sebagai penghalang kepada pelaksanaan reformasi dan usaha memperkukuh kerajaan.

Turut hadir Naib Presiden PKR, Datuk Dr Zaliha Mustafa; bekas Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim dan Datuk Seri Dr Samsul Iskandar Mohd Akin serta Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbi Muda.

BBerkaitan

Latest articles