IPOH: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, tidak digilis kenderaan dipandu pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, seperti didakwa beberapa saksi.
Peguam M Athimulan berkata, dakwaan pelajar Tingkatan Lima itu digilis bercanggah dengan bukti forensik dan perubatan, termasuk keterangan pakar patologi forensik yang mendapati kecederaan mangsa tidak konsisten dengan keadaan seseorang yang digilis.
Katanya, tiada tulang remuk, organ hancur atau kesan tayar ditemukan pada tubuh dan pakaian mangsa.
“Bukti perubatan ini adalah fakta saintifik dan objektif serta tidak terdedah kepada kelemahan persepsi manusia,” katanya ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.
Athimulan berkata, bukti berkenaan menyokong teori pembelaan bahawa Zaharif tercampak daripada motosikal selepas berlaku perlanggaran sebelum terjatuh di atas jalan raya, bukannya sengaja digilis.
Beliau turut mendakwa keterangan saksi yang melihat kejadian mungkin terjejas akibat persepsi ketika berdepan situasi traumatik serta pengaruh media sosial.
Dalam hujahnya, Athimulan turut membangkitkan kegagalan mengemukakan data “kotak hitam” kenderaan Perodua Ativa yang dipandu tertuduh.
Menurutnya, data itu penting untuk menentukan sama ada Mohd Nazri cuba membrek, mengelak atau melencongkan kenderaan serta kelajuan ketika kejadian, sekali gus membantu menentukan unsur niat dalam pertuduhan membunuh.
“Tanpa data kotak hitam itu, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan sama ada tertuduh cuba mengelakkan perlanggaran atau sama ada kelajuan kenderaan konsisten dengan keadaan hilang kawalan dan bukannya tindakan disengajakan,” katanya.
Mohd Nazri, 46, didakwa membunuh Zaharif berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, antara 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.
Athimulan yang dibantu Datuk Mior Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman akan meneruskan hujah pembelaan esok.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey.










