IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan jelas bahawa Dewan Rakyat tidak akan dibubarkan dalam masa terdekat, sekali gus menolak spekulasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menangani cabaran ekonomi dan keselamatan negara yang semakin meruncing susulan konflik di Asia Barat.
“Saya tidak akan adakan pilihan raya dalam satu atau dua bulan ini. Sabar dulu… sekarang masa untuk bekerja, bukan berpolitik,” tegasnya ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Meru Raya.
Anwar menekankan bahawa semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan ekonomi negara dalam suasana global yang tidak menentu, selain memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah mengambil langkah berjimat cermat termasuk mengurangkan lawatan rasmi ke luar negara melibatkan menteri dan timbalan menteri.
“Dalam keadaan mencabar ini, semua pihak – pemimpin, penjawat awam dan rakyat – perlu bersama-sama fokus untuk menyelamatkan negara,” katanya.
Tambah beliau, tekanan ekonomi yang berlarutan berpotensi mencetuskan peningkatan kadar jenayah termasuk aktiviti penyeludupan, justeru tindakan proaktif perlu diambil segera.










