KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan individu yang dirujuk sebagai ‘Mr R’ tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Rafizi berkata, kekeliruan timbul apabila orang ramai membuat spekulasi sendiri susulan beberapa pemimpin parti yang mempunyai nama bermula huruf ‘R’.
Jelasnya, dokumen setebal 40 muka surat yang diedarkan ahli perniagaan, Victor Chin juga tidak menyatakan ‘Mr R’ merujuk kepada wakil rakyat PKR yang didakwa menerima RM9.5 juta.
“‘Mr R’ bukan Ahli Parlimen PKR. Dua perkara ini berbeza tetapi telah dicampur-adukkan,” katanya menerusi rakaman video di media sosial.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, spekulasi semakin liar apabila netizen mengaitkan nama tersebut dengan beberapa pemimpin termasuk dirinya, Rodziah Ismail, R Yuneswaran dan Datuk Seri R Ramanan.
Dalam masa sama, Rafizi menegaskan isu sebenar yang perlu diberi perhatian adalah dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR bagi menyelesaikan tekanan daripada agensi penguatkuasaan.
Beliau berkata, jika dakwaan itu benar, individu terbabit pasti mempunyai pengaruh besar dalam parti serta akses kepada kepimpinan tertinggi kerajaan.
“Kalau seseorang sanggup bayar jumlah sebesar itu, individu berkenaan mesti ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri serta mampu mengurus tekanan pihak berkuasa,” katanya.
Rafizi turut mempersoalkan tindakan ahli perniagaan berkenaan yang berani mengeluarkan ultimatum supaya wang dipulangkan sebelum 30 Mac, yang menurutnya memberi gambaran kemungkinan wujud bukti.
Beliau berkata, perkembangan kes itu kini dilihat menuju dua kemungkinan sama ada identiti Ahli Parlimen terbabit didedahkan atau isu berkenaan ‘senyap’ jika wang dipulangkan.
Dalam perkembangan sama, Rafizi memberi bayangan akan mendedahkan identiti ‘Mr R’ dalam masa terdekat.










