KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad mempersoalkan prinsip dan pertimbangan yang digunakan dalam keputusan menawarkan kompaun RM10 juta sehingga membawa kepada penarikan balik pertuduhan pengubahan wang haram terhadap ahli perniagaan, Nicky Liow.
Dzulkifli berkata, penjelasan terbaharu Peguam Negara mengenai asas perundangan dan proses yang digunakan dalam membuat keputusan itu wajar diberi perhatian dan diakui sebagai satu penjelasan penting.
Bagaimanapun, katanya, persoalan utama bukan sama ada undang-undang membenarkan sesuatu kes diselesaikan melalui kompaun kerana peruntukan undang-undang sememangnya membenarkan kaedah itu dalam keadaan tertentu.
Sebaliknya, beliau berkata, perkara yang perlu diperjelaskan ialah asas sesuatu kompaun ditawarkan serta prinsip yang mengawal penggunaan budi bicara berkenaan.
“Lazimnya, kompaun ditawarkan sebagai alternatif kepada pendakwaan. Sekiranya tawaran itu tidak diterima, perkara tersebut kemudiannya diteruskan ke mahkamah.
“Apabila prosiding jenayah telah pun dimulakan dan kompaun kemudiannya ditawarkan, orang ramai berhak memahami asas undang-undang dan fakta yang menyebabkan pendekatan tersebut diambil,” katanya dalam kenyataan bertajuk When Prosecution Ends With A Compound: The Need For Greater Clarity.
Dzulkifli yang juga Presiden AMLAC Academy dan bekas Timbalan Pendakwa Raya berkata, pihak berkuasa juga perlu menjelaskan pertimbangan yang mewajarkan penggunaan budi bicara berkenaan.
Menurutnya, persoalan yang timbul termasuk sama ada keputusan itu dibuat berdasarkan kekuatan bukti, kepentingan awam atau pertimbangan pendakwaan lain yang diiktiraf.
Katanya, ketelusan mengenai prinsip berkenaan penting kerana kuasa budi bicara pendakwaan, walaupun luas, bukanlah tanpa batas dan perlu dilaksanakan secara konsisten, adil serta selaras dengan kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, penjelasan itu bukan sahaja penting dalam kes berkenaan, malah boleh menjadi panduan terhadap pengendalian kes-kes serupa pada masa hadapan.
“Jika kompaun boleh ditawarkan selepas pendakwaan dimulakan dalam satu kes, orang ramai berhak mengetahui sama ada pendekatan sama akan digunakan dalam kes lain yang mempunyai keadaan serupa.
“Konsistensi adalah asas kepada kesamarataan di sisi undang-undang dan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan,” katanya.
Dzulkifli turut membangkitkan persoalan mengenai sumber dana yang digunakan untuk membayar kompaun dalam kes berkaitan pengubahan wang haram.
Menurutnya, apabila kompaun dalam jumlah besar diterima, adalah munasabah untuk masyarakat bertanya sama ada pihak berkuasa telah berpuas hati bahawa dana yang digunakan bagi pembayaran berkenaan datang daripada sumber yang sah, khususnya apabila siasatan asal melibatkan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.
Beliau menegaskan persoalan itu bukan satu tuduhan terhadap mana-mana individu, sebaliknya merupakan persoalan sah yang timbul daripada objektif undang-undang pencegahan pengubahan wang haram itu sendiri.
Dzulkifli berkata, isu akhirnya bukan semata-mata mengenai sama ada keputusan tersebut sah di sisi undang-undang, tetapi sama ada prinsip yang mendasari keputusan itu cukup telus, digunakan secara konsisten dan boleh dijadikan panduan bagi kes pada masa hadapan.
“Kedaulatan undang-undang menuntut konsistensi. Keyakinan awam menuntut ketelusan.
“Keadilan memerlukan kedua-duanya,” katanya.










