‘Apa Sahaja Keputusan Pucuk Pimpinan, UMNO Selangor Dah Bersedia’ – Megat Zulkarnain

​GOMBAK: UMNO Selangor menegaskan seluruh jentera dan kepimpinan parti di peringkat negeri kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk mendepani sebarang kemungkinan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

​Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin berkata, persediaan rapi itu merangkumi pengukuhan hubungan serta kerjasama politik di peringkat negeri yang telah mula digerakkan berpandukan model kerjasama di Negeri Sembilan.

​Menurut beliau, kepimpinan UMNO Selangor yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian sentiasa mengadakan perbincangan berterusan bagi memastikan jentera parti sentiasa bersiap sedia dan berada pada landasan yang kukuh.

​”Kerjasama ini telah kita mulakan. Bermulanya kerjasama di Negeri Sembilan, kita telah gerakkan UMNO Negeri Selangor yang dianggotai Ketua-Ketua Bahagian untuk mengadakan pertemuan.

“Di Selangor, kita mempunyai hubungan yang baik dan tidak timbul sebarang masalah,” katanya.

​Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak Kali Ke-32 di sini pada Sabtu.

​Mengulas lanjut mengenai hala tuju parti, Megat Zulkarnain menjelaskan bahawa UMNO Selangor sentiasa patuh dan bersiap sedia untuk melaksanakan sebarang mandat atau keputusan yang bakal diputuskan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat Pusat.

​Ujar beliau, keharmonian di peringkat negeri membolehkan UMNO Selangor bergerak pantas dan fleksibel dalam menyusun strategi serta persediaan pilihan raya.

​”Saya percaya kalau apa pun keputusan politik yang akan kita ambil selepas ini melalui pucuk pimpinan, di peringkat negeri kita dah bersedia apa sahaja kemungkinan-kemungkinan,” tegas beliau.

BBerkaitan

Latest articles