KUDAT: Barisan Nasional (BN) tidak menutup pintu rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi, namun ia mesti berlandaskan prinsip keseimbangan dan kejujuran.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenangi kepada mana-mana rakan politik secara mudah.
Sebaliknya, beliau berkata, sebarang pertukaran masih boleh dipertimbangkan sekiranya jumlah kerusi yang ditukar adalah setara dan tidak menyebabkan mana-mana parti kehilangan kelebihan sedia ada.
“Prinsip asasnya, kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti perlu dihormati. Ia bukan sesuatu yang boleh diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.
“Tetapi kalau mahu buat ‘swap’ atau pertukaran kerusi, itu boleh dirunding, asalkan jumlahnya sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rungus anjuran Persatuan Momogun Rungus Malaysia (PMRM), hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pendekatan sama boleh digunakan dalam rundingan membabitkan negeri lain yang dikuasai parti-parti dalam gabungan politik, sekiranya semua pihak bersedia melakukan pertukaran secara seimbang.
Katanya, BN mengambil pendirian tersebut susulan kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, yang mempersoalkan tahap keikhlasan BN dalam rundingan kerusi PRN Melaka.
Muhammad Kamil dilaporkan membangkitkan perkara itu selepas Ahmad Zahid menyatakan BN mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya sebelum ini.
Menurut Ahmad Zahid, rundingan tetap boleh diteruskan sekiranya wujud kesediaan daripada semua pihak untuk berkompromi, termasuk melalui mekanisme pertukaran kerusi di negeri-negeri lain.
“Kalau mereka boleh melakukannya dengan janji kejujuran dan keikhlasan, saya tidak nampak kenapa perkara itu tidak boleh dilakukan oleh Ketua Menteri Melaka,” katanya.
Beliau menegaskan BN tidak mengambil pendekatan menutup sepenuhnya ruang rundingan, namun pada masa sama tidak mahu pintu tersebut dibuka tanpa batas sehingga menjejaskan kepentingan parti.
“Jangan buka pintu itu seluas-luasnya, tetapi jangan juga tutup serapat-rapatnya.
“Maknanya, masih ada ruang untuk rundingan,” katanya.










