GOMBAK: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin menafikan wujud sebarang krisis kepimpinan dalam UMNO Bahagian Kuala Selangor seperti yang dilaporkan sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau memperjelaskan bahawa usul panas yang dikemukakan dalam mesyuarat bahagian berkenaan hanya bertujuan meminta Ketua Bahagian, Datuk Jahaya Ibrahim berehat sementara waktu bagi menumpukan proses rawatan kesihatan.
Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain menegaskan bahawa tindakan perwakilan itu lahir atas rasa prihatin ahli terhadap keadaan kesihatan Jahaya yang baru-baru ini diserang angin ahmar (stroke), dan bukannya desakan untuk melucutkan jawatan beliau secara mutlak.
”Kita kena faham, isu ini bukan soal menolak Ketua Bahagian. Datuk Jahaya baru-baru ini diuji dengan masalah kesihatan angin ahmar.
“Jadi, ahli-ahli mencadangkan supaya dalam tempoh rawatan ini, beliau diberikan ruang berehat sementara waktu dan tugas-tugas bahagian dijalankan oleh kepimpinan lain buat sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal Suara TV bertajuk ‘Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Selangor Panas, Majoriti Perwakilan Mahu Ketua Bahagian Serah Tugas’ pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gombak Kali Ke-32 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Megat Zulkarnain memaklumkan pihaknya telahpun menerima laporan lengkap berhubung perjalanan mesyuarat serta perbahasan usul berkenaan.
Justeru, beliau memberi jaminan bahawa pihak kepimpinan negeri sudah mempunyai formula dan ‘jalan keluar’ terbaik bagi menyelesaikan isu berkenaan tanpa menjejaskan keharmonian serta kelancaran pentadbiran parti di peringkat bahagian.
”Saya telah terima laporan lengkap dan dalam masa terdekat ini, saya sendiri akan bertemu dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kuala Selangor untuk membuat keputusan serta mengumumkan jalan keluar terbaik bagi masalah ini,” jelas beliau lagi.










