KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah intervensi awal secara proaktif dan menyeluruh bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara susulan ketegangan geopolitik yang sedang memuncak di Asia Barat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara fokus utama kerajaan adalah menjamin keterjaminan bekalan tenaga negara, termasuk dengan mempelbagaikan sumber serta meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.
Menurut beliau, perkara itu dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 3/2026 yang meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan susulan konflik di rantau berkenaan.
“Walaupun negara masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan akan terus memantau situasi di Asia Barat secara rapi dan memastikan maklumat penting disampaikan kepada rakyat secara telus dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa ketenangan, disiplin serta semangat kebersamaan rakyat amat penting dalam mendepani cabaran semasa agar Malaysia kekal stabil, berdaya tahan dan mampu mengharungi sebarang ketidaktentuan global.










