SUNGAI BULOH: Datuk Seri R Ramanan tampil berpendirian tegas apabila mencabar mana-mana pihak yang mengaitkan Ahli Parlimen PKR dengan dakwaan penerimaan wang dan urus niaga saham supaya tampil menamakan individu terlibat serta mengemukakan bukti sah.
Naib Presiden PKR itu menegaskan, tuduhan yang sedang tular ketika ini tidak boleh diterima tanpa asas kukuh, apatah lagi tiada sebarang dokumen atau rekod rasmi dikemukakan bagi menyokong dakwaan berkenaan.
“Saya cabar namakan siapa Ahli Parlimen itu. Kalau benar, tunjukkan bukti, mana dokumen, mana transaksi?” katanya dalam sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh.
Menurut beliau, sebarang tuduhan serius melibatkan transaksi kewangan berskala besar sepatutnya boleh dibuktikan secara jelas melalui rekod pemindahan dan dokumen sah, bukannya sekadar bersandarkan spekulasi atau naratif tidak berasas.
Ramanan turut menegaskan bahawa beliau tidak akan melayan khabar angin, sebaliknya hanya berpandukan fakta dan kebenaran, selain memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tidak berasas.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan, sambil menggesa semua pihak menggunakan saluran mahkamah jika benar mahu membersihkan nama.
Isu itu tercetus susulan dakwaan oleh Victor Chin yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi menyelesaikan isu ‘mafia korporat’, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai individu dikenali sebagai ‘Mr R’.










