PETALING JAYA, — Ranhill SAJ dan Yes bekerjasama menawarkan akses internet lebih meluas serta pengurangan bil air kepada rakyat Johor menerusi satu inisiatif yang menggabungkan dua perkhidmatan asas, iaitu bekalan air bersih dan internet berkelajuan tinggi, selaras dengan aspirasi pembangunan bandar pintar negeri itu.
Menerusi program berkenaan, penduduk yang layak dan melanggan pelan jalur lebar Yes 5G Advanced akan menerima baucar bernilai RM10.50 sebulan bagi bil air mereka untuk tempoh enam bulan pertama.
Inisiatif itu bertujuan memberi kelegaan kewangan segera kepada isi rumah di samping menggalakkan penggunaan perkhidmatan digital secara lebih meluas.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ranhill SAJ, Mohd Hedzir Hanafi berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat utiliti berkenaan dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Peranan kami bukan sekadar menyediakan perkhidmatan air yang selamat dan boleh dipercayai, tetapi juga meningkatkan kualiti kehidupan harian pengguna. Melalui kerjasama ini, kami dapat menawarkan penjimatan bermakna kepada keluarga di samping menggalakkan penglibatan digital melalui aplikasi Ranhill SAJ,” katanya dalam satu kenyataan.
Ranhill SAJ merupakan penyedia utama perkhidmatan air di Johor, membekalkan air terawat kepada lebih 1.8 juta isi rumah dan perniagaan di seluruh negeri.
Dalam masa sama, akses internet yang stabil semakin penting dalam menyokong pendidikan, pekerjaan jarak jauh, komunikasi serta penggunaan pelbagai platform digital.
Yes yang dikendalikan oleh YTL Communications melihat inisiatif itu sebagai sebahagian usaha memperluas ekosistem 5G di Malaysia, dengan menawarkan rangkaian 5G Advanced yang menyediakan kelajuan lebih pantas serta sambungan lebih stabil untuk kegunaan di rumah.
Melalui pelan jalur lebarnya, pengguna boleh menikmati data 5G tanpa had bermula RM68 sebulan, selain menerima penghala premium percuma dan akses iQIYI selama setahun dengan nilai keseluruhan melebihi RM1,300.
Penyelesaian WiFi rumah jenis ‘plug-and-play’ turut memudahkan pemasangan tanpa keperluan pendawaian, sekali gus mempercepatkan penggunaan.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee berkata kerjasama itu membuktikan bagaimana kesalinghubungan digital boleh melengkapi perkhidmatan asas dalam menyokong komuniti.
“Capaian internet yang boleh dipercayai kini menjadi keperluan. Melalui kerjasan ini, kami membawa rangkaian 5G paling maju ke lebih banyak kediaman di Johor sambil membantu pengguna menikmati penjimatan tambahan pada bil air,” katanya.
Bagi menyertai program itu, pengguna perlu memuat turun aplikasi mudah alih Ranhill SAJ, melanggan pelan jalur lebar Yes yang layak dan mengemukakan nombor akaun air SAJ untuk pengesahan.
Selepas diluluskan, rebat bulanan akan diberikan pada bil air pengguna.
Selain penjimatan kos, inisiatif itu turut menggalakkan penglibatan digital yang lebih aktif, termasuk pengurusan akaun air, semakan bil serta penerimaan maklumat perkhidmatan secara lebih cekap.










