KOTA BHARU: Mana-mana parti politik yang mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO digesa supaya tidak membiarkan permuafakatan yang dibina dipengaruhi atau diganggu oleh campur tangan ‘pihak ketiga’.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peringatan itu wajar diberi perhatian memandangkan parti berkenaan pernah berdepan pengalaman lalu yang menyaksikan usaha mewujudkan persepakatan gagal disebabkan tindakan pihak tertentu.
Beliau berkata, pihak ketiga terbabit boleh terdiri daripada individu dari dalam mahupun luar parti yang sering mengeluarkan kenyataan mendahului kepimpinan tertinggi.
“Berdasarkan pengalaman lampau, sering kali usaha ke arah mewujudkan persefahaman dan permuafakatan digagalkan oleh pihak ketiga. Begitu juga dengan Muafakat Nasional (MN) gagal pun disebabkan orang ketiga.
“Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, ramai yang mahu berlagak ‘hero’ dengan mengeluarkan kenyataan melangkaui kepimpinan tertinggi sehingga menimbulkan keresahan. Jadi, lebih baik tidak menggunakan media umum sebelum sebarang perundingan bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu Empat Peringkat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi meminta semua ahli memberi kepercayaan penuh kepada kepimpinan tertinggi parti untuk menterjemahkan hasrat rakyat, khususnya dalam melihat parti yang mewakili suara orang Melayu duduk semeja demi kemaslahatan negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO kekal berwaspada dalam menjalinkan kerjasama dengan parti lain, termasuk model persefahaman yang dilaksanakan di Johor dan Negeri Sembilan.
“Kita bersikap terbuka, namun perlu berhati-hati kerana tidak mahu ‘dipatuk ular di lubang yang sama’. Semasa MN dahulu, bukan kita yang mengkhianat sebaliknya kita yang ditinggalkan. Pendekatan berhati-hati ini penting bagi memastikan maruah UMNO terus terpelihara,” katanya.










