Hadi ‘Penghukum Agama’, Politik PAS Disifatkan Berbahaya – Sheikh Umar

KUALA LUMPUR: Pendekatan politik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, disifatkan berbahaya kerana didakwa cenderung mencampuradukkan perjuangan parti dengan agama sehingga seolah-olah meletakkan PAS sebagai representasi Islam.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, malah menyifatkan Hadi sebagai ‘penghukum agama’ yang tidak menghayati prinsip dakwah seperti diperkenalkan tokoh Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Hudhaibi menerusi ungkapan nahnu du’at, la qudhah yang bermaksud ‘kita pendakwah, bukan penghukum’.

Menurutnya, pendekatan politik sedemikian boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat apabila perbezaan politik dilihat seolah-olah menjadi ukuran terhadap pegangan agama seseorang.

“Cara politik Hadi ini sangat berbahaya. Dia jadikan seolah-olah Islam itu PAS, PAS itu Islam dan dia bebas menghukum.

“Macam ambil kerja Tuhan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respons terhadap tulisan Hadi dalam ruangan Minda Presiden PAS yang mendakwa DAP, sebagai parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH), meneruskan agenda penjajah untuk menghapuskan Melayu dan Islam.

Hadi turut mendakwa DAP secara terbuka memperlihatkan perjuangan sekularisme ekstrem selain terus membawa konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Mengulas perkara itu, Sheikh Umar menegaskan DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan melaksanakan kegiatan politik berdasarkan kerangka undang-undang negara, termasuk peruntukan berkaitan kedudukan Islam.

“Kalau DAP menolak Islam, DAP pasti sudah diharamkan kerana menolak apa yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Johor itu turut mempersoalkan konsistensi pendirian Hadi, terutama berhubung hubungan PAS dengan UMNO yang menurutnya berubah mengikut perkembangan politik semasa.

Beliau memberi contoh pendirian Hadi pada 1981 yang didakwa menyaksikan UMNO dikafirkan sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.

“Ketika itu rakyat berpecah, solat dua imam. Ada suami isteri terpaksa memperbaharui lafaz nikah kerana pernikahan terdahulu dianggap tidak sah.

“Daging sembelihan orang UMNO juga tidak dimakan kerana dianggap tidak halal. Budaya kafir-mengkafir merebak dalam masyarakat.

“Namun pada 27 Julai lalu, ketika mahu ‘memeluk UMNO’, beliau pula menyifatkan perbezaan UMNO dan PAS sekadar khilaf serta perkara cabang,” katanya.

Sheikh Umar berkata perubahan pendirian tersebut menimbulkan persoalan mengenai asas pendekatan politik Hadi, khususnya apabila isu agama digunakan dalam persaingan antara parti politik.

BBerkaitan

Latest articles