​KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP yang kini mendominasi Pakatan Harapan (PH) meneruskan agenda tinggalan penjajah Barat bagi melemahkan serta menyingkirkan penguasaan Melayu-Islam di negara ini.
​Menurut beliau, strategi tersebut dilaksanakan secara halus menerusi pemikiran sekularisme, kebebasan demokrasi ekstrem, serta gagasan Malaysian Malaysia yang bertentangan dengan ketetapan fitrah dan sejarah asal Tanah Melayu.
​Katanya, DAP turut memperalatkan segelintir pemimpin Melayu dan parti berwajah Islam dalam kerajaan bagi melestarikan agenda politik berkenaan.
​”Penjajah asing meninggalkan ‘petugas’ yang melangsungkan gerakan menentang Islam dan umatnya secara berterusan.
“Di Malaysia, mereka mewujudkan teori Malaysian Malaysia oleh DAP dengan menanam semangat perkauman dalam kalangan kaum lain.
​”PH yang dikuasai DAP telah mengambil beberapa langkah terbuka bagi meneruskan agenda penjajah, termasuk menyingkirkan kedudukan Islam dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi ‘Minda Presiden PAS’ pada Sabtu.
​Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu turut membangkitkan isu cadangan pelaksana semula Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menurutnya ditekankan oleh DAP untuk menguasai kawasan bandar.
​Jelas beliau, Pilihan Raya PBT sebelum ini dimansuhkan kerana bimbang mengulangi kesan penyusunan masyarakat majmuk oleh penjajah yang pernah mendatangkan igauan sejarah hitam negara.
​”Pilihan raya PBT kini dijadikan agenda untuk menguasai kawasan bandar yang didominasi oleh kaum tertentu.
​”Selain itu, wujud tindakan mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, memperlekehkan kedaulatan Raja-raja Melayu, dan melemahkan kedudukan bahasa Melayu,” ujarnya.
​Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru agar langkah menyelamatkan kedudukan bangsa dan agama dilakukan dengan segera menerusi penyatuan politik Melayu-Islam tanpa mengira fahaman parti.
​Tegas beliau, penyatuan tersebut perlu merangkumi gabungan utama seperti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Parti Wawasan Negara serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muafakat Nasional (MN).
​”Pendirian ini bukan bersifat perkauman atau fanatik, sebaliknya mewajibkan Melayu-Islam memimpin negara dalam konsep menerima masyarakat majmuk.
“Semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Melayu ialah tuan punya tanah air ini mengikut ketetapan sejarah dan agama.
​”Langkah ini mesti dimulakan dengan penyatuan Melayu-Islam bagi menegakkan kuasa politik Islam yang adil serta saksama kepada semua kaum di Malaysia,” katanya.










