PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia diseru memperhebat doa dan munajat susulan konflik yang semakin meruncing di Gaza dan Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan, dalam saat dunia Islam berdepan tekanan hebat, kekuatan rohani dan kesatuan doa menjadi senjata paling ampuh sebagai tanda solidariti serta pergantungan kepada Allah SWT.
Beliau menggesa umat Islam mengamalkan bacaan Qunut Nazilah dan menunaikan Solat Hajat khusus memohon keamanan buat Gaza dan seluruh Asia Barat.
Menurutnya, amalan tersebut adalah sunnah ketika umat Islam berdepan musibah besar dan menjadi wadah memohon perlindungan Ilahi.
“Solidariti bukan sekadar pada kenyataan. Ia mesti diterjemah melalui doa yang berterusan dan kesatuan ummah,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Dr Zulkifli turut mengajak semua masjid dan surau di seluruh negara melaksanakan bacaan Qunut Nazilah secara berjemaah dalam solat fardu, selain menganjurkan Solat Hajat khas demi kesejahteraan rakyat Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, ketegangan di rantau itu terus memuncak apabila Iran menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan segera terhadap apa yang disifatkan sebagai penggunaan kekerasan haram oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres serta Majlis Keselamatan PBB mendakwa serangan terbaharu melanggar kedaulatan Iran dan menyasarkan kemudahan pertahanan serta kawasan awam.
Tehran menegaskan hak mempertahankan diri di bawah Artikel 51 Piagam PBB akan digunakan sepenuhnya, sekali gus memberi bayangan bahawa konflik di Asia Barat masih jauh daripada berakhir.










