KUALA LUMPUR: Cadangan Pemuda PAS untuk mengangkat Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri parti itu mula mencuri perhatian ramai.
Sayap pemuda parti berkenaan secara terbuka mendapatkan pandangan rakyat mengenai idea tersebut, sambil menyifatkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai pemimpin teknokrat yang tenang, berilmu dan berorientasikan hasil.
Dalam hantaran tersebut, Pemuda PAS menggambarkan Ahmad Samsuri atau lebih dikenali sebagai “Dr Sam” sebagai ilmuwan dan teknokrat yang bekerja untuk rakyat tanpa terpalit dengan drama politik berpanjangan.
“Andai kata beliau dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri suatu hari nanti, apa pandangan rakyat Malaysia?” soal hantaran itu, mengundang pelbagai reaksi warganet.
Menurut mereka, pendekatan kepimpinan Samsuri yang bekerja “dalam diam tetapi membuahkan hasil” lebih disenangi golongan atas pagar yang semakin muak dengan polemik politik.
Ahad lalu, Samsuri dinamakan sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan berkuat kuasa 1 Januari.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, memaklumkan golongan ulama dalam parti itu menyokong penuh pelantikan berkenaan.
Malah, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sendiri dikatakan mencadangkan nama Samsuri cadangan yang didakwa menerima sokongan padu daripada ulama, profesional dan aktivis parti.
Pemuda PAS turut menonjolkan latar belakang akademik Samsuri yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Aeroengine Ignition and Combustion serta Sarjana Sains dalam Combustion and Energy dari University of Leeds.
Dari sudut pentadbiran negeri pula, Terengganu dikatakan mencatat perkembangan ekonomi memberangsangkan sejak 2018 dengan jumlah pelaburan mencecah RM14.86 bilion merentasi pelbagai sektor.
Bagi tahun 2025 setakat Jun, negeri itu merekodkan pelaburan RM6 bilion, iaitu angka tertinggi dalam sejarah separuh tahun Terengganu.
Kadar pengangguran juga dilaporkan menurun kepada 2.8 peratus, terendah dalam tempoh lebih sedekad bagi suku kedua tahun ini.










