320 Penduduk Kampong Chenderawasih Terima Bakul Makanan Sempena Ramadan

PEKAN: Seramai 320 penduduk daripada golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah (B40) di Kampong Chenderawasih, Sungai Miang, menerima bantuan bakul makanan menerusi program kebajikan yang dianjurkan Team Amal Kazuko, Sabtu lalu.

Program berkenaan diadakan sebagai usaha membantu meringankan beban golongan memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Ramadan yang bakal tiba.

Inisiatif tersebut dipimpin oleh Komander Team Amal Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid, dengan sokongan rakan penaja iaitu APZG Sdn Bhd serta Mubassyir Travel & Tours Sdn Bhd yang turut sama menjayakan program berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib, selain pemimpin setempat dan penduduk kampung yang hadir memeriahkan suasana.

Menurut Intan, program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyampaikan bantuan, malah menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara komuniti melalui aktiviti bersama, termasuk jamuan makan tengah hari gulai kawah.

Beliau berkata, sumbangan bakul makanan itu diharap dapat membantu penerima membuat persiapan Ramadan dengan lebih tenang, selain membawa kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.

“Program ini adalah sebahagian daripada usaha berkongsi rezeki dan menyemai semangat kebersamaan dalam masyarakat. Kami berharap bantuan yang disalurkan mampu memberi kelegaan kepada penerima,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap usaha kebajikan seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada komuniti dan golongan memerlukan.

BBerkaitan

Latest articles