RM150 Juta Baki SARA Disalur Semula Kepada Golongan Rentan – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 berjumlah RM150 juta yang tidak dibelanjakan atau dituntut sehingga 31 Disember lalu akan diagihkan semula kepada golongan memerlukan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau memaklumkan, sebanyak 96 peratus atau kira-kira 21 juta penerima SARA sekali bayar tahun lalu telah merekodkan transaksi melebihi RM2.05 bilion di pasaran tempatan, manakala baki empat peratus dana yang tidak digunakan akan disalurkan kepada empat kumpulan utama.

Menurutnya, agihan itu melibatkan penghuni pusat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pelajar orang kurang upaya (OKU) serta pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin oleh Kementerian Kesihatan (KKM), serta penubuhan bank masakan dapur siswa dengan peruntukan khusus RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Pengagihan semula dana ini bukan sahaja memastikan pengurusan kewangan awam yang berterusan, malah mengukuhkan jaringan keselamatan sosial negara,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung jumlah peruntukan SARA yang dibelanjakan melalui sistem MyKasih sepanjang 2025, status baki bantuan yang tidak digunakan serta pelan penambahbaikan bagi tahun 2026.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menegaskan tumpuan kepada kumpulan rentan seperti mangsa keganasan rumah tangga, OKU dan pesakit miskin mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan, selain membuktikan keupayaan kerajaan mengurus dana awam secara fleksibel dan responsif.

Beliau turut memaklumkan semakan kelayakan SARA boleh dibuat mulai hari ini menerusi portal SARA.gov.my, dengan tempoh pemprosesan permohonan sekitar dua minggu selepas dokumen lengkap diterima.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan cadangan membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu yang boleh ditebus menggunakan SARA, selain kajian lanjut berhubung barangan basah bagi memastikan aspek kualiti dan keselamatan makanan terjamin.

BBerkaitan

Latest articles