Agenda Penyatuan Melayu Bantu Redakan Ketegangan Suasana Akar Umbi BN

​​GEMAS: Hasrat untuk melihat penyatuan orang Melayu dan kestabilan masa depan menjadi dorongan utama akar umbi Barisan Nasional (BN) kembali bersatu dan merapatkan barisan dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini, terutamanya di DUN Gemas.

​Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jelai 2 dan 4, Muhammad Shukor Nasir berkata, meskipun wujud kedinginan dan reaksi tidak puas hati pada peringkat awal kempen, pendekatan penjelasan berhemah berteraskan agenda penyatuan bangsa berjaya meredakan keadaan.

​Menurut veteran politik berusia 68 tahun itu, peranan pemimpin veteran di peringkat cawangan adalah sebagai “air sejuk” untuk memberi pencerahan berhubung hala tuju parti dan keputusan kepimpinan tertinggi.

​”Demi orang Melayu, penyatuan orang Melayu dan masa depan kita, kita terangkan keadaan sebenar kepada mereka. Peringkat awal memang orang tengah marah, tetapi masuk hari keempat kempen, keadaan semakin reda dan makin positif.

​”Dahulu nak masuk bersembang di kedai kopi pun susah, tetapi hari ini penerimaan mereka semakin terbuka. Orang Melayu ada budi bahasa, apabila kita terang satu per satu, mereka boleh terima,” katanya ketika ditemui di Warung Abon, Jelai 4, di sini.

​Muhammad Shukor yang juga Ketua UMNO Cawangan Jelai 4 berkata, beliau kini menyelaraskan gerak kerja di enam cawangan di bawah seliaannya berpandukan arahan Ketua UMNO Bahagian dan kepimpinan utama.

​Mengulas mengenai peluang calon PN, Ridzuan Ahmad pada PRN kali ini, beliau melahirkan keyakinan bahawa pendekatan bersemuka dan diplomasi tempatan mampu meraih sokongan padu daripada pengundi di kawasan berkenaan.

​”Matlamat kita jelas, iaitu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon PN demi kestabilan bersama,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles