Ibu Tunggal Ditemui Mati Kerana Dikelar, Polis Siasat Unsur Bunuh

BUTTERWORTH: Seorang wanita yang juga ibu tunggal ditemui meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher dalam kejadian menggemparkan di sebuah unit rumah di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua, pada Selasa.

Mangsa berusia 41 tahun itu ditemukan tidak bernyawa dalam keadaan terbaring di atas katil di salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Penemuan mayat mangsa disedari selepas jiran-jiran berasa curiga apabila wanita itu tidak memberikan sebarang respons walaupun pintu rumahnya terbuka, manakala pagar jeriji didapati berkunci.

Menurut sumber, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.40 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, mangsa tinggal di kediaman tersebut bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan kesalahan membunuh.

Sementara itu, Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan terdapat kesan kelar pada bahagian leher mangsa yang dipercayai dilakukan menggunakan senjata tajam.

Beliau berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang tanda pergelutan, sekali gus menimbulkan kemungkinan mangsa diserang oleh individu yang dikenalinya.

Siasatan juga mendapati serangan dipercayai berlaku dari arah belakang, namun punca sebenar kematian akan ditentukan melalui proses bedah siasat.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk tindakan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles