Sistem Audit Perlu Mesra Rakyat, Anwar Tegaskan Jangan Jadi Beban

PUTRAJAYA: Pelaksanaan sistem pengauditan negara tidak seharusnya menjadi faktor yang membebankan rakyat, sebaliknya perlu dibangunkan secara inklusif dan mudah difahami agar manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kegagalan memahami realiti dan keresahan rakyat sering menyebabkan inisiatif penambahbaikan ditolak walaupun matlamat asalnya baik. Justeru, Jabatan Audit Negara (JAN) digesa mengubah pendekatan dengan lebih mendekati masyarakat sebelum memperkenalkan sebarang sistem baharu.

Anwar berkata, sistem pengauditan yang efisien bukan sahaja menuntut ketegasan dalam pelaksanaan, malah memerlukan unsur empati dan komunikasi yang jelas agar tidak dianggap sebagai sesuatu yang rumit atau menekan.

“Setiap pembaharuan pasti akan menerima bantahan jika ia diperkenalkan tanpa kefahaman. Audit perlu dilihat sebagai usaha memperbaiki, bukan menghukum atau menyusahkan rakyat,” katanya ketika merasmikan Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap jurang yang wujud antara cita-cita reformasi pentadbiran dengan pelaksanaan di peringkat lapangan, yang adakalanya mencetuskan salah faham dan keresahan awam.

Dalam pada itu, Anwar menekankan keperluan reformasi menyeluruh terhadap sistem pengauditan termasuk penggunaan teknologi digital bagi memastikan proses audit tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang menggerunkan, malah lebih telus dan berkesan.

Katanya, sistem audit yang lemah atau dilaksanakan secara tidak konsisten hanya membuka ruang kepada ketirisan, penyelewengan dan penyalahgunaan dana awam, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

“Oleh sebab itu, pengauditan mesti diperkemas dan dilaksanakan secara menyeluruh. Jika audit berjalan dengan baik, ketirisan dapat dibendung dan masalah lama yang membelenggu negara dapat dikurangkan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan komited memberi ruang seluas-luasnya kepada usaha memperkukuh sistem pengauditan merentasi jabatan dan agensi kerajaan, selagi ia mematuhi peraturan serta kerangka undang-undang sedia ada.

BBerkaitan

Latest articles