Lelaki Ditemui Maut Dengan Kesan Kelar Dalam Kereta Di Parkir Pusat Beli-belah

IPOH: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah di Station 18, pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan, pihak polis menerima panggilan orang awam berhubung seorang lelaki tidak sedarkan diri pada jam 12.53 pagi.

Susulan maklumat itu, anggota dari Balai Polis Pasir Puteh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh segera ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki berada di tempat duduk penumpang sebuah kereta dengan kecederaan di bahagian leher.

Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang tiba di lokasi kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HRPB Ipoh bagi menjalani proses bedah siasat.

Hasil rakaman keterangan ahli keluarga mendapati lelaki berusia 57 tahun itu dipercayai mengalami kemurungan sejak enam bulan lalu, dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan yang dialaminya.

Tambah Abang Zainal Abidin, keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan di leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Siasatan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Pasir Puteh di talian 05-321 2222 atau Bilik Gerakan IPD Ipoh di talian 05-245 1500.

BBerkaitan

Latest articles