“Semoga Semua Perancangan Diteruskan” – Seloroh Hakim Selepas Syed Saddiq Kekal Bebas

PUTRAJAYA: Suasana yang sebelum itu tegang di Mahkamah Persekutuan bertukar sedikit ceria apabila Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, sempat berseloroh kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sejurus keputusan rayuan akhirnya diumumkan pada Isnin.

Ketika membacakan keputusan, Abu Bakar yang mempengerusikan panel tiga hakim berharap segala perancangan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dapat diteruskan selepas mengetahui keputusan majoriti memihak kepadanya.

“Diharap perancangan itu dapat dibuat dengan perkara yang sepatutnya,” katanya sambil mengundang senyuman ahli keluarga serta penyokong Syed Saddiq yang memenuhi galeri awam mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan pembebasan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan membabitkan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Majoriti keputusan itu dicapai apabila Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat Ahli Parlimen Muar berusia 34 tahun itu wajar dilepaskan daripada semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Abu Bakar menjadi satu-satunya hakim yang mengemukakan penghakiman berbeza apabila berpandangan Syed Saddiq sepatutnya disabitkan bagi tiga pertuduhan membabitkan salah guna harta dan AMLA.

Menurut beliau, Syed Saddiq seharusnya dibebaskan hanya bagi pertuduhan pertama berkaitan bersubahat melakukan pecah amanah, namun didapati bersalah bagi tiga pertuduhan lain.

“Bagaimanapun, pandangan saya tidak lagi memberi kesan kerana dua lagi hakim tidak sependapat.

“Mereka sudah tentu berhak memberikan pandangan masing-masing sebagai hakim Mahkamah Persekutuan mengikut sistem kehakiman,” katanya.

Keputusan majoriti itu sekali gus menamatkan prosiding rayuan akhir yang menjadi perhatian ramai, dengan Syed Saddiq kekal dibebaskan daripada kesemua empat pertuduhan yang dihadapinya.

BBerkaitan

Latest articles