KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan berhati-hati terhadap kenyataan pimpinan PAS berhubung dakwaan wujud rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan menyifatkan pendirian parti itu sering berubah mengikut perkembangan politik semasa.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman lalu mengajar gabungan itu supaya tidak terlalu bergantung kepada kenyataan pemimpin PAS kerana ia tidak semestinya mencerminkan keputusan yang akhirnya dibuat.
Menurut beliau, situasi ketika PRN Johor menjadi contoh jelas apabila kenyataan yang dikeluarkan sebelum hari penamaan calon didakwa berbeza dengan tindakan sebenar menjelang pengundian.
“Jadi, jangan terlalu positif dengan mereka. Kita bersangka baik sahaja, tetapi jangan terlalu yakin kerana mereka boleh mengubah ‘goal post’ pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.
Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa BN dan PAS sedang mengadakan rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Mengulas lanjut, Zahid menegaskan sehingga kini BN tidak mempunyai sebarang perjanjian rasmi atau keputusan muktamad dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Sebaliknya, jika terdapat sebarang perbincangan, ia sekadar melibatkan persefahaman awal dan bukannya satu persetujuan yang telah dimeterai.
“Apa yang dinyatakan itu tidak semuanya harus diterima sebagai kenyataan yang tepat kerana kita tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan PAS.
“Kalau ada perbincangan sekali pun, ia hanya bersifat ‘understanding’ atau persefahaman. Kita belum memuktamadkan apa-apa keputusan,” katanya.
Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS pada dasarnya bersetuju untuk memberi laluan kepada BN mempertahankan 14 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023, manakala PAS akan terus bertanding di tiga kerusi yang disandangnya iaitu Bagan Pinang, Serting dan Paroi.
Pada masa sama, Zahid memaklumkan BN tidak akan meniru bulat-bulat formula kemenangan besar yang digunakan pada PRN Johor, sebaliknya strategi berbeza akan dirangka mengikut realiti politik Negeri Sembilan.
Beliau berkata, landskap politik, komposisi pengundi serta bilangan kerusi di Negeri Sembilan memerlukan pendekatan yang lebih sesuai dengan keadaan setempat.
“Formula itu tentunya perlu disesuaikan dengan situasi politik di Negeri Sembilan. Kita juga akan mengumumkan senarai calon minggu ini,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Pada PRN 2023, Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 17 kerusi, diikuti BN dengan 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh lima kerusi.
Daripada 17 kerusi dimenangi PH, DAP menguasai 11 kerusi, PKR lima dan Amanah satu. Bagi PN pula, tiga kerusi dimenangi PAS manakala dua lagi dimenangi Bersatu.
Sebelum ini, seorang pemimpin Bersatu turut mendakwa PAS mengadakan rundingan dengan UMNO bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, berbanding memberi tumpuan kepada penyelarasan strategi bersama rakan komponennya dalam PN.










