KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Presiden UMNO itu, kenyataan seperti ikrar untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tidak wajar dibangkitkan memandangkan mereka kini berada dalam Kerajaan Perpaduan dan bukannya lagi berada di blok pembangkang.
Beliau berkata, setiap anggota Kabinet seharusnya menjaga keharmonian dalam kerajaan serta mengelakkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik.
“Biarlah kenyataan itu dibuat secara berpatutan kerana setiap minggu kami bertemu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Jika ketika berada di pihak pembangkang dahulu, mungkin kenyataan seperti itu boleh dianggap bersesuaian. Namun apabila sudah bersama dalam kerajaan, tidak perlulah perkara sedemikian dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zahid memaklumkan beliau sendiri akan bertemu Nga bagi membincangkan isu berkenaan secara baik.
“Tak mengapa, saya akan jumpa dia. Dia kawan saya,” katanya ringkas.
Semalam, Nga dilaporkan menjelaskan bahawa beliau hanya berikrar akan melepaskan jawatan sekiranya Najib dibebaskan daripada hukuman penjara, sekali gus menafikan dakwaan bahawa kenyataan itu dibuat sekiranya Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Hukuman asal 12 tahun penjara yang dikenakan terhadap beliau sebelum ini dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan pada 2024, dengan tempoh hukuman dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Selain itu, bekas Perdana Menteri tersebut turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dalam satu lagi kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun beliau telah memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman berkenaan.










