Walau Masih Dalam Siasatan SPRM, Sunway Teruskan Tawaran Ambil Alih IJM

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd mengesahkan ia akan meneruskan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd melibatkan 3.51 bilion saham biasa pada harga RM3.15 sesaham, meskipun syarikat pembinaan itu kini menjadi tumpuan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway berkata tawaran tersebut dibuat mengikut peraturan pengambilalihan dan penggabungan yang ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan kelak.

Cadangan pengambilalihan itu diumumkan pada 12 Januari lalu, dengan Sunway turut memaklumkan sebuah anak syarikat milik penuh berkemungkinan dilantik sebagai penerima saham tawaran berkenaan.

Perkembangan itu hadir ketika IJM sedang disiasat SPRM berhubung isu tadbir urus korporat, perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai sekitar RM2.5 bilion. SPRM sebelum ini turut menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di beberapa lokasi, termasuk kediaman serta pejabat seorang pengurusan tertinggi syarikat.

Bagaimanapun, IJM menafikan sebarang salah laku dan menolak dakwaan pengubahan wang haram, khususnya berkaitan pelaburan di United Kingdom.

Syarikat itu turut mengesahkan Pengerusinya, Tan Sri Krishnan Tan, serta beberapa kakitangan lain telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi membantu siasatan yang sedang berjalan.

BBerkaitan

Latest articles