KUALA LUMPUR: PAS memberi isyarat bersedia menyertai cadangan “kolaborasi agung” antara parti Melayu dan Islam, namun menegaskan ia hanya boleh berlaku jika kerajaan yang memayunginya memerintah berlandaskan ketetapan Allah SWT.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perpaduan mesti berpaksikan kepimpinan adil serta nilai Islam, bukan kuasa yang dihormati kerana harta, jawatan atau ketakutan terhadap kezaliman.
Menurutnya, PAS juga menolak sebarang bentuk perpaduan yang berdiam diri terhadap kezaliman dan perkara haram, kerana itu menjadi punca perpecahan.
Katanya, rundingan berkaitan perpaduan perlu dipimpin golongan berilmu dalam Islam, bukan individu jahil atau berkepentingan.
Beliau menambah, PAS tidak bersetuju dengan konsep perpaduan tanpa sempadan hukum Allah seperti yang didakwa dilaksanakan Kerajaan Pakatan Harapan.
Terdahulu, UMNO menyatakan hasrat mengundang pemimpin parti Melayu dan Islam bagi membincangkan pembentukan “kolaborasi agung”, namun menegaskan ia tidak bertujuan menggugat Kerajaan Perpaduan.










