JOHOR BAHRU: Kekecewaan yang semakin ketara terhadap Pakatan Harapan (PH) dalam kalangan masyarakat India berpotensi mengubah corak pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan sebahagian pengundi dilihat cenderung beralih menyokong Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang dua hari berada di Johor Bahru termasuk beberapa lawatan ke Iskandar Puteri, terdapat tanda-tanda jelas bahawa sokongan tradisi masyarakat India terhadap PH semakin terhakis.
Menurut beliau, golongan pertengahan masyarakat India dilihat lebih terbuka untuk memberikan undi protes kepada Bersama, manakala kelompok kelas pekerja pula menunjukkan kecenderungan untuk kembali menyokong BN.
Katanya, perubahan sentimen itu didorong oleh rasa tidak puas hati terhadap prestasi kerajaan serta kekecewaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya meluangkan masa hampir dua jam bersama kira-kira 20 hingga 25 pemimpin masyarakat India dan perbincangan yang berlangsung menunjukkan kekecewaan terhadap PH terus menjadi topik utama.
“Ramai membangkitkan soal janji yang masih belum ditunaikan, kos sara hidup yang semakin meningkat serta tanggapan bahawa masyarakat mereka semakin terpinggir dari sudut politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menurut Charles, perkembangan tersebut memberi gambaran bahawa landskap politik dalam kalangan masyarakat India sedang mengalami perubahan, khususnya menjelang hari pengundian.
Beliau berkata, golongan profesional dan pertengahan dilihat cenderung menggunakan undi sebagai isyarat protes dengan menyokong Bersama, manakala pengundi daripada kelompok pekerja pula semakin melihat BN sebagai pilihan alternatif.
Dalam pada itu, Charles turut menyifatkan suasana kempen di beberapa kawasan sebagai agak suram apabila tidak banyak kelihatan bendera parti atau gerak kerja kempen berskala besar seperti pilihan raya sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa situasi di peringkat akar umbi mungkin berbeza dan tidak semestinya dapat diukur melalui suasana kempen semata-mata.
“Jika sentimen yang saya temui ini turut berlaku secara meluas dalam kalangan pengundi lain, keputusan pilihan raya kali ini mungkin bukan ditentukan oleh siapa yang menawarkan harapan paling besar.
“Sebaliknya, ia mungkin bergantung kepada parti mana yang paling terkesan akibat kekecewaan rakyat,” katanya.










