‘Aku Pergi Tolong Kedah, Tapi Kamu Hentam Saya, Apa Jenis Macam Ni? – Anwar Bidas Sanusi

SIMPANG RENGGAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas beliau dikritik ketika sedang mengadakan lawatan rasmi ke Kedah bagi melancarkan projek pembangunan bersama Timbalan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul.

Anwar berkata, beliau hairan apabila Sanusi memilih untuk menyerangnya di Johor sedangkan Kerajaan Persekutuan pada masa sama sedang berusaha membantu memacu pembangunan Kedah walaupun negeri itu ditadbir PAS.

“Pagi tadi saya pergi ke Alor Setar hingga Bukit Kayu Hitam untuk membantu membangunkan Kedah. Kemudian saya baca dalam media, Menteri Besar Kedah berada di Johor dan hentam saya.

“’Eh, aku pergi tolong kamu di negeri Kedah tahu tak? Apa jenis macam ini? Dahlah tak datang, kita bawa Perdana Menteri Thailand lagi.

“Ingat senang nak bawa Perdana Menteri Thailand bukan di Kuala Lumpur, tetapi sampai ke kawasan utara. Kenapa? Sebab kita nak bantu rakyat di bawah,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, hari ini.

Sebelum ini, Sanusi menyindir Anwar dengan mendakwa Perdana Menteri itu seolah-olah menganggap semua negeri bergantung kepada Kerajaan Persekutuan selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

Menurut Sanusi, tanggapan tersebut tidak tepat kerana Kerajaan Persekutuan diwujudkan hasil persetujuan negeri-negeri yang menyerahkan sebahagian kuasa menerusi Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri adalah memastikan pembangunan dinikmati seluruh negara tanpa mengira negeri ditadbir kerajaan atau pembangkang.

Beliau berkata, pendekatan memilih hanya kawasan tertentu untuk dibangunkan tidak akan membawa kemajuan menyeluruh kepada negara.

“Kalau kita tumpu satu kawasan sahaja, negara tidak akan maju secara keseluruhan. Sebab itu saya turun padang menyempurnakan pembukaan laluan baharu.

“Matlamat kita ialah memastikan seluruh Malaysia dibangunkan. Walaupun Kedah diperintah PAS, saya tetap anggap menjadi tanggungjawab saya untuk membantu rakyat dan membangunkan Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) berdepan gabungan besar parti lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau merujuk kepada kenyataan kepimpinan PAS yang mengarahkan penyokongnya mengundi calon UMNO di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN), bagi mengelakkan perpecahan undi.

“Tengok PH, semua bergabung melawan kita. PAS yang selama ini berlawan dengan UMNO pun sekarang kata boleh sokong UMNO, asalkan bukan Anwar dan bukan PH. Politik apa macam ini? Mana ada prinsip,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles