PASIR GUDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak lagi menjadikan isu membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai bahan kempen politik.
Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat.
Menurut Anwar, Najib kini sedang menjalani hukuman penjara dan isu berkenaan tidak seharusnya terus dipolemikkan sepanjang kempen pilihan raya.
“Najib sekarang dalam penjara, jangan kacau dia… kalau tanya saya, sudah-sudahlah. Tetapi hutang 1MDB itu kita yang terpaksa bayar sehingga sekarang dan masih belum selesai,” katanya ketika berucap pada program Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan, hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin; Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim; serta calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan bahawa kerajaan ketika ini masih menanggung beban hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menurutnya mencecah RM51 bilion.
Beliau berkata, sekiranya dana sebesar itu tidak digunakan untuk menampung liabiliti 1MDB, kerajaan mempunyai lebih banyak ruang kewangan untuk meningkatkan kemudahan awam dan membantu golongan memerlukan.
“Kalau wang itu tidak perlu digunakan untuk membayar hutang 1MDB, kita boleh salurkan kepada sekolah, hospital, pembinaan jalan dan membantu rakyat miskin. Tetapi sekarang kita tidak dapat berbuat demikian kerana hutang itu masih perlu dilunaskan,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berharap kempen PRN Johor dapat memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta penyelesaian masalah rakyat, bukannya terus berkisar kepada isu yang menurutnya tidak lagi membawa manfaat kepada negara.










