SHAH ALAM: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun melalui detik cemas apabila dilarikan individu tidak dikenali ketika berada di dalam sebuah kereta yang diparkir berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam apabila mangsa meminta kunci kereta daripada bapanya untuk menghidupkan enjin kerana mahu duduk di dalam kenderaan jenis Perodua Viva itu.
Mangsa kemudian duduk di bahagian belakang sambil bermain telefon bimbit sebelum seorang lelaki tiba-tiba masuk ke dalam kereta dan memandu pergi.
“Mangsa hanya menyedari kehadiran suspek apabila dia menjerit ketakutan. Namun, suspek tidak bertindak ganas, sebaliknya hanya mengarahkannya supaya diam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kenderaan bersama mangsa ditemui semula tidak lama kemudian di tepi jalan berhampiran sebuah restoran di Seksyen 26, Shah Alam.
Mangsa dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan fizikal, namun mengalami trauma akibat kejadian itu.
Katanya, kereta berkenaan telah diperiksa oleh pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan lanjut.
Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta Seksyen 363 Kanun Keseksaan berkaitan melarikan kanak-kanak daripada jagaan sah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-1755 4394 bagi membantu siasatan.










