Loke Nafi ‘Team A’, ‘Team B’ Dalam DAP, Dakwa Kenyataan Zahid Tidak Berasas

SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, menolak dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai kewujudan ‘Team A’ dan ‘Team B’ dalam DAP, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas serta bersifat manipulatif.

Menurut Loke, DAP sentiasa berfungsi sebagai satu pasukan dan tidak pernah beroperasi melalui mana-mana kumpulan dalaman seperti yang didakwa.

Beliau turut menafikan keras dakwaan bahawa dirinya sendiri kononnya memaklumkan perkara itu kepada Ahmad Zahid, malah menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Adakah saya nampak bodoh? Cerita tentang parti saya sendiri kepada orang luar. Adakah ini logik sama sekali? Saya nafikan sekeras-kerasnya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2025, hari ini.

Dalam ucapannya, Loke mengingatkan para perwakilan agar tidak terperangkap dengan permainan politik lama yang bertujuan memecah-belahkan parti.

“Kepada semua perwakilan, jangan termakan dengan dakwaan seperti ini. Ini cara lama berpolitik ‘divide and rule’ ala Machiavelli yang bertujuan menimbulkan keresahan dan curiga dalam kalangan kita,” tegasnya.

Kenyataan itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa perbezaan kenyataan dalam kalangan kepimpinan utama DAP berpunca daripada kewujudan ‘Team B’ dalam parti itu. Beliau juga mendakwa perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Loke kepadanya.

“Betul… Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa, yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP. Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya,” katanya ketika berucap pada ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

BBerkaitan

Latest articles