​’Tak Pelik Sekat Musuh, Yang Pelik Kalahkan Kawan’ – Annuar Bidas Puad

KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyifatkan landskap politik Pas di Johor sebagai ‘pelik’ mengundang bidasan daripada Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menegaskan bahawa tindakan Pas bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya ia merupakan strategi lumrah untuk menyekat kemenangan pihak musuh.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara yang sepatutnya dianggap pelik adalah apabila sesebuah parti politik itu cuba menjatuhkan rakan sekutu mereka sendiri.

“Tak pelik kalau kita cuba sekat kemenangan musuh. Yang pelik bila kita cuba kalahkan kawan,” katanya dalam kenyataan hari ni.

Walaupun Annuar tidak menamakan mana-mana pihak secara spesifik, kenyataan pemimpin Pas itu dipercayai merujuk kepada kerjasama politik Umno dan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Sebelum keluar daripada Umno pada Jun lepas, Mohd Puad mempersoalkan pendekatan politik Pas di Johor yang disifatkannya sebagai mengelirukan, terutamanya dalam menentukan status ‘kawan dan lawan’ menjelang pilihan raya.

Kenyataan balas Annuar itu hadir susulan keputusan rasmi PRN Johor semalam yang menyaksikan BN mencatatkan kemenangan besar dengan memperoleh mandat dua pertiga selepas menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Dalam pilihan raya negeri itu, Pakatan Harapan (PH) sekadar memenangi lapan kerusi, manakala PN mencatatkan keputusan hambar apabila tewas di kesemua 33 kerusi yang ditandinginya termasuk kegagalan mempertahankan tiga kerusi tradisi gabungan itu sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles