Suami Dakwa Isteri Sarat Hamil Dituduh Sorok Barang Dalam Baju, Mencuri – Cetus Kemarahan Netizen

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa isterinya yang sedang hamil 38 minggu berdepan pengalaman memalukan apabila ditahan seorang kakitangan premis sebelum sempat membuat pembayaran di kaunter.

Menerusi hantaran di Threads, Fareez Shah mendakwa kejadian berlaku ketika mereka membeli barangan runcit, sebelum kakitangan terbabit menghentikan isterinya dan mempersoalkan bentuk perutnya yang disyaki menyembunyikan barangan yang belum dibayar.

Menurutnya, isterinya yang sarat hamil terpaksa menjelaskan bahawa perut yang disyaki itu sebenarnya kandungan yang kini memasuki usia 38 minggu.

Insiden berkenaan didakwa menyebabkan isterinya berasa sangat malu dan tertekan, sekali gus menukar urusan membeli-belah yang sepatutnya berjalan seperti biasa menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Akak simpan barang apa dalam perut tu?”

“Bayangkan anda mendengar kata-kata itu ditujukan kepada isteri anda yang sedang sarat hamil.

“Saya benar-benar terkejut. Saya terus bertanya, “Barang apa yang isteri saya curi? Siapa yang nampak dia mencuri?”

“Namun, daripada menunjukkan sebarang bukti, mereka meminta Buku Pink isteri saya sebagai bukti bahawa dia benar-benar hamil.

“Itu masih belum mencukupi.

“Mereka kemudian meminta isteri saya menunjukkan perutnya bagi membuktikan dia tidak menyembunyikan barangan yang didakwa dicuri.

“Bayangkan sendiri bagaimana perasaan apabila berdepan situasi sebegitu,” kata suami mangsa.

Pasangan berkenaan meluahkan rasa kecewa bagaimana kakitangan pasar raya berkenaan mengendalikan prosedur soal jawab berkenaan – sekali pun jika benar ada insiden kecurian berlaku.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan kakitangan berkenaan dan menggesa pihak pengurusan premis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya jika dakwaan tersebut benar.

BBerkaitan

Latest articles