KUALA LUMPUR: Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka memberi kesan langsung terhadap percaturan politik negara, termasuk penentuan masa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pandangan itu disuarakan wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin yang berpandangan kemenangan bergaya BN bukan sahaja telah dijangka, malah membuktikan strategi gabungan diterajui UMNO itu bertanding secara solo walaupun menjadi rakan dalam Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH), adalah langkah yang tepat.
Menurut beliau, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada pengukuhan kedudukan UMNO, termasuk keputusan parti itu membawa kembali pemimpin yang sebelum ini dikenakan tindakan disiplin.
Beliau berkata, antara tokoh yang memberi impak ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah menjadi Ahli Parlimen di Johor sejak 1995.
Dalam masa sama, Kadir berpandangan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan turut menjadi antara faktor yang mengukuhkan pengaruh Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu.
Katanya, langkah tersebut yang disifatkannya sebagai ‘talian hayat’ kepada Zahid akhirnya memberi kelebihan politik yang besar kepada pemimpin berkenaan.
“Walaupun Anwar dapat menjadi perdana menteri dengan bantuan ‘anak muridnya’ itu, tetapi sekarang ‘anak murid’ (Zahid) bertukar menjadi ancaman nombor satu kepadanya.
“Ini boleh menjejas kedudukan beliau sebagai perdana menteri serta mempengaruhi ‘timing’ PRU ke-16,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada PRN Johor semalam, BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala baki lapan kerusi dimenangi Pakatan Harapan.
Kedua-dua gabungan berkenaan kini merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun keputusan PRN Johor dilihat berpotensi mengubah landskap serta percaturan politik menjelang PRU16.










