BN Tiada Ruang Bermegah, Mandat Rakyat Tuntut Kerja Lebih Keras, Kata Asyraf

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak hanyut dengan kemenangan besar yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, sebaliknya terus memperkukuh khidmat kepada rakyat dengan penuh komitmen dan rasa tanggungjawab.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mandat besar yang diberikan oleh rakyat Johor bukan tiket untuk berasa selesa, sebaliknya merupakan amanah yang perlu diterjemahkan melalui kerja yang lebih kuat, lebih keras dan berterusan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor atas kepercayaan yang diberikan kepada BN, sambil memberi jaminan bahawa setiap undi dan sokongan akan dibalas dengan pentadbiran yang berteraskan kerja keras serta komitmen tanpa berbelah bahagi.

“Terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor atas mandat dan kepercayaan yang diberikan. Insya-Allah, BN akan terus membuktikan bahawa setiap kepercayaan yang diberikan akan dibalas dengan kerja keras, khidmat yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi rakyat.

“Dalam kemenangan ini, kita harus lebih merendah diri. Dengan mandat yang diberikan, kita mesti bekerja lebih kuat dan lebih keras untuk rakyat. Tiada masa untuk mendabik dada, jauh sekali merasa selesa.

“Kemenangan ini adalah amanah besar yang wajib dipikul dan ditunaikan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO dan BN di setiap peringkat, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, selain jentera bahagian, cawangan, petugas serta sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.

Katanya, pengorbanan mereka di lapangan menjadi antara faktor utama kejayaan BN apabila sanggup berdepan pelbagai cabaran, termasuk mengorbankan masa bersama keluarga demi memastikan kemenangan parti dan kesinambungan agenda pembangunan Johor.

“Saya sendiri menyaksikan kesungguhan dan pengorbanan sahabat-sahabat di lapangan. Panas dan hujan ditempuh, masa bersama keluarga dikorbankan, penat dan lelah diketepikan, semuanya demi satu tekad untuk memastikan kestabilan dikekalkan dan kemajuan Johor dapat diteruskan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan serta keyakinan yang ditunjukkan sepanjang menghadapi pilihan raya negeri itu.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang disifatkannya berjaya memimpin negeri dengan bersungguh-sungguh menerusi agenda pembangunan dan pendekatan menyantuni rakyat.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi turut menghargai komitmen seluruh jentera BN dari Johor dan seluruh negara yang disifatkannya sebagai wira dan wirawati di sebalik kemenangan besar gabungan itu pada PRN Johor.

BBerkaitan

Latest articles