UMNO Tangguh Pemilihan Parti, Fokus Hadapi PRN, PRU16

KUALA LUMPUR: UMNO memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada beberapa pilihan raya penting yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan parti untuk memberi fokus kepada persiapan menghadapi sekurang-kurangnya tiga pilihan raya utama.

Menurut beliau, selain kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan tahun ini, Johor juga berdepan situasi sama, sebelum negara menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Keutamaan kita sekarang adalah pilihan raya. PRN Melaka dan Johor berkemungkinan berlaku tahun ini, kemudian disusuli PRU. Kalau kita sibuk dengan pemilihan parti, akan timbul pelbagai isu yang boleh melemahkan fokus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas sesi bersama pengamal media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Tambah Asyraf, UMNO kini memerlukan kekuatan dalaman yang kukuh bagi memastikan parti berada dalam keadaan terbaik untuk berdepan cabaran pilihan raya.

“UMNO perlukan kestabilan dan kesatuan. Apa yang diputuskan perwakilan dalam PAU tahun lalu menunjukkan ada kebijaksanaan dalam menilai keperluan parti,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun ini akan ditangguhkan dan hanya diadakan selepas PRU16.

Asyraf menyifatkan penangguhan itu sebagai langkah tepat bagi membolehkan parti diperkukuh dan dipulihkan terlebih dahulu.

“Perlembagaan parti sudah dipinda dan dipersetujui dalam perhimpunan agung lalu. Ia membenarkan pemilihan diadakan sama ada sebelum atau selepas pilihan raya dalam tempoh lima tahun.

“Dalam konteks UMNO, perwakilan dan ahli telah memilih supaya pemilihan dibuat selepas pilihan raya, dan itulah keputusan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles