KEMPAS: Aspek akhlak, integriti peribadi, serta ketaatan kepada agama merupakan kriteria utama yang wajar dinilai oleh rakyat dalam memilih seorang pemimpin, berbanding hanya bersandarkan kepada populariti atau kelantangan bersuara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa seorang pemimpin yang baik tidak semestinya diukur menerusi latar belakang pendidikan agama secara formal, tetapi lebih kepada amalan peribadi yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menambah asas keperibadian yang kukuh, seperti menjaga ibadah dan menghormati agama lain, adalah cerminan kepada keupayaan seseorang untuk memikul amanah rakyat.
”Mendirikan sembahyang itu mendirikan agama, meninggalkan sembahyang itu meruntuhkan agama. Biarpun seseorang itu tidak menuntut di institusi agama terkenal, jika roh Islamnya kuat, menjaga wuduk, dan menghormati agama lain, itulah pemimpin yang kita perlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di hadapan para penyokong dan jentera parti dalam program Timbalan Perdana Menteri Bersama Generasi Kempas, malam tadi.
Dalam amanatnya, Presiden UMNO itu turut memuji Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkan sebagai ikon pemimpin muda berakhlak mulia dan konsisten memelihara tiang agama.
Ahmad Zahid mendedahkan sifat peribadi Onn Hafiz yang kekal merendah diri dan menjaga ibadah asas, termasuk kelazimannya mendirikan solat Subuh secara berjemaah di surau mahupun masjid.
”Saya bukan mahu memuji beliau (Onn Hafiz) di hadapan orang ramai, tetapi ini adalah realiti. Beliau adalah seorang anak muda yang warak, sentiasa menjaga solatnya, dan tidak meninggalkan perintah agama.
”Pemimpin sebeginilah yang kita mahukan untuk menerajui masyarakat, tidak menunjuk-nunjuk alim, tetapi roh ibadahnya sangat kuat, dan dalam masa yang sama, teguh menghormati kepelbagaian agama di negara ini,” tegas Ahmad Zahid.
Menyentuh tentang adab dalam berpolitik, Ahmad Zahid mengingatkan para ahli politik, khususnya golongan muda, agar tidak mengetepikan nilai kesetiaan serta adab semata-mata kerana didorong oleh darah muda.










