Saya Tak Pernah Pilih Bulu, Bantuan Kerajaan ‘Sampai’ Semua Negeri – Anwar

BATU PAHAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Persekutuan tidak pernah mendiskriminasi mana-mana negeri dalam penyaluran bantuan dan peruntukan, meskipun negeri berkenaan ditadbir pembangkang.

Menurut beliau, setiap keputusan kerajaan dibuat berasaskan keperluan rakyat, bukannya fahaman politik, dengan matlamat memastikan kebajikan semua lapisan masyarakat terus terpelihara.

Katanya, komitmen itu dibuktikan menerusi peruntukan berbilion ringgit bagi projek tebatan banjir di Johor, selain kelulusan projek sama di Kelantan walaupun negeri itu tidak menyokong kerajaan pimpinannya.

“Di Johor kita beri berbilion ringgit untuk projek tebatan banjir dan projek itu sudah bermula.

“Di Kelantan pun sama. Walaupun mereka tidak menyokong saya, kita tetap bantu kerana rakyat susah.

“Di sana ramai orang Melayu yang memerlukan pertolongan, sebab itu kita luluskan juga projek tebatan banjir,” katanya ketika berucap pada ceramah ‘Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan’ di Banang Jaya, pada Khamis.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, serta calon-calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Senggarang, Semerah dan Rengit.

Dalam pada itu, Anwar menggesa rakyat Johor memanfaatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menentukan masa depan negeri dan generasi akan datang.

“Kita mahu anak-anak dan cucu kita menikmati kehidupan yang lebih baik daripada kita. Sebab itu kita mahukan perubahan supaya Johor menjadi negeri yang lebih maju,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan dan kemajuan negara hanya dapat dicapai apabila semua kaum diberi layanan yang adil tanpa dipinggirkan.

“Kalau negara mahu aman dan maju, kita mesti jaga semua rakyat tanpa mengira Melayu, Cina atau India. Tidak boleh lagi kita terus berpecah-belah.

“Setiap kali pilihan raya, ada pihak yang hanya memainkan sentimen kononnya mahu mempertahankan maruah Melayu untuk meraih sokongan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles