BATU PAHAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau membeli sebuah kereta mewah jenama BMW untuk kegunaan peribadi, sambil menyifatkan tuduhan yang tular di media sosial itu sebagai tidak benar.
Menurut Anwar, kenderaan BMW yang diperkatakan bukanlah sebuah kereta baharu yang dibelinya, sebaliknya aset sedia ada milik kerajaan.
“Ada orang cakap Anwar ini cakap nak tolong orang miskin tapi dia beli kereta besar, kereta baharu BMW… saya tak beli, itu kereta lama… apa pasal mahu tipu,” katanya ketika berucap pada program Yok! Meriahkan Johor! Undi Harapan di Senggarang, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa kenderaan Mercedes yang sering digunakan ketika ini merupakan kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan bukan hak milik peribadinya.
“Yang saya pakai sekarang ini Agong kurnia dan bukan saya ambil sebagai hak milik persendirian. Saya daftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri… jangan fikir saya macam orang lain, sakau dan curi duit rakyat,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan yang tersebar di media sosial mengenai status pemilikan BMW yang digunakan Perdana Menteri.
Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri bersama Bahagian Istiadat dan Urusetia Antarabangsa (BIUPA) menjelaskan bahawa BMW berkenaan ialah aset sedia ada milik kerajaan di bawah seliaan BIUPA yang diperuntukkan bagi kegunaan logistik rasmi negara, bukannya kenderaan rasmi baharu.
Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil, serta calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar; DUN Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar dan DUN Penggaram, Felicia Poh Rui Ling.
PRN Johor dijadual berlangsung Sabtu ini dengan PH mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi DUN.










