‘Panggil Saya Bila-Bila, Saya Sedia Jawab’ – Zahid Sedia Muncul Dalam Podcast Keluar Sekejap

KEMPAS: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaannya untuk menjadi tetamu podcast Keluar Sekejap, sekali gus membuka ruang kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan mengemukakan apa sahaja persoalan kepadanya.

Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak gentar untuk berdepan sesi soal jawab dalam program berkenaan dan bersedia hadir pada bila-bila masa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berakhir.

​”KJ, selepas Johor ini panggil saya pada bila-bila masa sahaja. InsyaAllah saya akan muncul.

​”Kita habis hari Sabtu, hari Ahad kita sudah ‘free’ (lapang). Nak panggil hari Ahad atau malam Isnin, saya datang. Pilih soalan-soalan yang terbaik untuk saya, insyaAllah saya akan jawab semua,” katanya ketika berucap pada program Timbalan Perdana Menteri Bersama Generasi Kempas, malam tadi.

Ahmad Zahid turut berseloroh bahawa beliau tidak bimbang berdepan soalan-soalan mencabar dalam podcast tersebut.

“Walaupun dalam dada ada harimau, insya-Allah yang keluar bukan kambing,” katanya, yang disambut gelak tawa serta sorakan “On tak on!” daripada hadirin.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri itu turut melontarkan pujian terhadap Khairy dengan menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO berkenaan sebagai pemimpin yang memiliki potensi besar.

“Dia mempunyai bakat dan wawasan kepimpinan yang baik. Masa depannya masih cerah… tetapi selepas sayalah,” katanya secara berseloroh.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera BN supaya tidak terlalu yakin dengan pencapaian lalu, sebaliknya terus menggandakan usaha sehingga tamat proses pilihan raya.

Menurutnya, kemenangan besar yang diraih pada pilihan raya negeri sebelum ini tidak menjamin keputusan sama pada Pilihan Raya Umum (PRU), justeru semua pihak perlu terus bekerja keras.

“Jangan riak dan jangan takabur. Kita pernah menang besar dalam PRN Johor dan Melaka, tetapi keputusan PRU tidak seperti yang diharapkan. Sebab itu kita perlu kekal konsisten dan istiqamah,” katanya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa sokongan terhadap BN di Johor mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan gabungan itu di negeri-negeri lain menjelang PRU ke-16.

BBerkaitan

Latest articles